SELAMAT DATANG


counter

TAGLINE

TAGLINE

Thursday, February 23, 2017

SETIAUSAHA SYARIKAT, PELUKIS PELAN DIDAKWA

 
RASAH 22 Feb. - Seorang setiausaha sebuah syarikat dan pelukis pelan dihadapkan di Mahkamah Se­syen Seremban di sini hari ini atas 11 pertuduhan terlibat dalam peng­ubahan wang haram berjumlah lebih RM10.3 juta, tiga tahun lalu.
Kedua-dua lelaki itu, Noor Hazaini Yahya, 44, dan Mohamad Najib Kamis, 40, yang masing-masing berhadapan tujuh dan empat pertuduhan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Fathiyah Idris dan Hakim G. Ramesh.
Noor Hazaini didakwa mene­rima sejumlah RM8,933,229.76 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaun tertuduh di Maybank Berhad, Public Bank Berhad, RHB Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang juga setiausaha sebuah syarikat di bank-bank di Seremban dan Nilai dekat sini antara 8 Ogos 2014 dan 29 Januari 2015.
Mohamad Najib pula didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,374,499.66 ke dalam akaunnya di Maybank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad di Nilai serta RHB Bank Berhad di sebuah pasar raya di Senawang antara 25 Oktober 2014 dan 30 Januari 2015.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Peng­ubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan juga memohon agar kesemua kes membabitkan kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama beberapa tertuduh lain membabitkan kes serupa baru-baru ini.
Fathiyah membenarkan Noor Hazaini diikat jamin RM8,000 bagi kesemua pertuduhan ma­nakala Ramesh membebaskan Mohamad Najib dengan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertu­duhan masing-masing dengan seorang penjamin sementara me­nunggu sebutan semula kes pada 3 Mei dan 12 Mei ini.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Noor Hazaini diwakili pegu­am Mohd. Harris Abdullah dan Mohd. Faizi Che Abu manakala Mohamad Najib diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan tersebut.
Pada 10 Februari lalu, Noor Hazaini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan me­nyalahgunakan wang berjumlah RM6.55 juta milik Maybank Islamic Berhad dan satu pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram lebih RM3 juta.
Empat lelaki lain termasuk abang Noor Hazaini, Nor Yasmi, 45, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalah guna wang berjumlah RM4.43 juta milik institusi kewangan sama.
Sumber : Utusan Online
Tarikh : 23 Februari 2017

Tuesday, January 31, 2017

BERI MAKLUMAT PALSU KEPADA PENDAFTAR SYARIKAT – PENGARAH SYARIKAT DIHUKUM DENDA RM 15,000.00

Alor Setar - Seorang Pengarah Syarikat berusia 53 tahun, Mohd Naim Bin Hussain telah disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 kerana telah melakukan kesalahan memberi kuasa kepada Setiausaha Syarikat untuk menyerahsimpan maklumat palsu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia berkenaan dengan peletakan jawatan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah MS Saujana Sdn. Bhd. melalui borang 49 bertarikh 2 Mac 2013. Hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 ialah penjara sepuluh tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya.

Menurut kertas pertuduhan, Mohd Naim telah ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen yang sama pada 18 November 2015 untuk dibacakan pertuduhan di bawah seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965. Mohd Naim telah membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. 

Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Najwa Che Mat telah mensabitkan Mohd Naim dengan kesalahan seperti pertuduhan dan memerintahnya membayar denda sebanyak RM 15,000.00 atau penjara 5 bulan jika denda tidak dibayar.  Sabitan dibuat selepas Mohd Naim yang diwakili peguamnya Burhanudeen Ab Wahid menukar pengakuan kepada bersalah pada 27 Oktober 2016. Denda telah dibayar oleh Mohd Naim pada hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dan Mohd Fairuz Othman.

Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Tarikh: 01.02.2017


PENGARAH-PENGARAH SYARIKAT DIDAKWA GAGAL MENGEDARKAN NOTIS MESYUARAT AGUNG YANG MENGANDUNGI KENYATAAN DALAM RESOLUSI YANG DICADANGKAN OLEH AHLI YANG MEMPUNYAI LEBIH 5% JUMLAH PEGANGAN SAHAM

GEORGETOWN – Pengarah-pengarah Syarikat Multi-Usage Holdings Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap satu pertuduhan gagal mengedarkan notis mesyuarat agung yang mengandungi kenyataan dalam resolusi yang dicadangkan oleh ahli yang mempunyai lebih 5% jumlah pegangan saham.
Ang Hwei Chyn, Ang Kim Cheng @ Ang Teng Kok dan Cheah Chin Huat, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Tuan Mohamad Amin Bin Shahul Hamid.

Bagi pertuduhan tersebut, Ang Hwei Chyn, Ang Kim Cheng @ Ang Teng Kok dan Cheah Chin Huat didakwa telah gagal mengedarkan notis mesyuarat agung yang mengandungi kenyataan dalam resolusi yang dicadangkan oleh ahli-ahli yang mempunyai lebih 5% jumlah pegangan saham Syarikat Multi-Usage Holdings Berhad melalui surat bertarikh 27 April 2015 untuk dikendalikan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Syarikat.

 Ang Hwei Chyn, Ang Kim Cheng @ Ang Teng Kok dan Cheah Chin Huat didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 151(1)(b) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman denda RM10,000.00 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada SSM Mohamad Azies Han Bin Mohd Fadzil dan Ang Hwei Chyn, Ang Kim Cheng @ Ang Teng Kok dan Cheah Chin Huat diwakili oleh Cik Siti Nurzafirah dari Tetuan Maslina Yee & Partners.

Tuan Mohamad Amin Bin Shahul Hamid menetapkan 22 November 2016 untuk sebutan semula kes.

Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Tarikh: 31.01.2017

Monday, November 14, 2016

SSM PEROLEHI SABITAN TERHADAP BEKAS PENGARAH SYARIKAT KERANA BERTINDAK SEBAGAI PENGARAH SYARIKAT KETIKA BANKRAP TANPA KEBENARAN DARIPADA MAHKAMAH

Alor Setar - Isnin, 5 September 2016: Bekas Pengarah Syarikat, Mohamad Radzi bin Ayob (“Mohamad Radzi”), telah didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 125 (1) Akta Syarikat 1965 kerana telah, pada masa yang material, bertindak sebagai Pengarah Syarikat Bintang Kembara Sdn. Bhd. tanpa kebenaran daripada Mahkamah ketika diisytiharkan bankrap yang belum dilepaskan. 

Kes ini telah didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Najwa Binti Che Mat. Mohamad Radzi telah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan. Ketika mitigasi, Mohamad Radzi, yang tidak diwakili, telah memohon hukuman yang ringan dengan alasan dia tidak pernah disabitkan bersalah atas kesalahan jenayah sebelum ini dan menanggung perbelanjaan keluarganya. 

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 jika gagal bayar 4 bulan penjara. Denda telah dibayar oleh Mohamad Radzi pada hari yang sama. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM Najia Abdul Razak bagi pihak SSM.


Sumber: Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Tarikh: 05.09.2016

Tuesday, January 19, 2016

Penutupan Syarikat

Selamat Petang & salam.sejahtera,

Kita berniat untuk menutup syarikat sdn bhd. Bagaimana caranya? Perlu Tuan ketahui syarikat masih ada hutang/loan pinjaman bank. Apakah syarikat bisa ditutup?

Syarikat ini adalah saya & suami sebagai pemegang saham, disebabkan kesehatan buruk suami, bisnis ini tidak bisa dijalankan. Syarikat ditutup untuk mengurangi expenses.

Mohon pencerahan dari Tuan apa yang harus kita lakukan. Atas bantuan dan budi baiknya, saya ucapkan terima kasih.

Salam Hormat,
XXX

JAWAPAN

Waalaikummussalam Puan,
Untuk makluman, terdapat dua cara untuk menutup Syarikat iaitu melalui proses Pembubaran Syarikat atau permohonan Pembatalan Nama Syarikat.
1. Pembubaran
Pembubaran Syarikat boleh dibuat oleh perintah mahkamah atau secara sukarela. Merujuk seksyen 254(1), Syarikat boleh dibubarkan secara sukarela dengan cara meluluskan resolusi biasa atau resolusi khas ahli di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Pengarah syarikat juga perlu melantik Pembubar sementara yang diluluskan untuk menjadi Pembubar sementara Syarikat tersebut.
2. Pemohonan Pembatalan Nama Syarikat (Strike off S308)
Selain proses pembubaran, sekiranya Syarikat Puan tidak aktif, tidak beroperasi dan tidak berupaya meneruskan perniagaan pada masa akan datang, maka Syarikat boleh membuat permohonan Pembatalan Nama Syarikat atau Penutupan Syarikat (Strike Off) di bawah Seksyen 308 (1) Akta Syarikat 1965. Hal ini kerana, proses Penutupan Syarikat adalah lebih mudah berbanding proses pembubaran.


Antara syarat- syarat Penutupan Syarikat adalah seperti berikut:-
a)         Syarikat itu tidak berniat untuk menjalankan perniagaan pada masa hadapan
b)         Syarikat itu tidak mempunyai aset atau harta
c)         Syarikat itu tidak mempunyai hutang yang perlu dibayar
d)         Syarikat itu bukan Syarikat penjamin atau anak Syarikat lain
e)         Syarikat itu tidak berfungsi lagi seperti tiada Pengawai yang boleh dihubungi

Merujuk kepada syarat-syarat yang dinyatakan, pihak Syarikat perlu memastikan tiada liabiliti, hutang dan tiada lagi cukai Syarikat yang tertunggak. Sekiranya ada, Syarikat perlu menyelesaikan hutang itu terlebih dahulu bagi membolehkan proses pembatalan nama dilakukan. Selain itu, pihak yang menguruskan segala dokumen penutupan tersebut perlu tahu akan hutang atau pinjaman bank tersebut. 
Proses penutupan Syarikat ini kebiasaannya mengambil tempoh selama 6 hingga 12 bulan bergantung kepada budi bicara pihak SSM. Sesebuah Syarikat yang telah dibatalkan dari daftar disifatkan telah dibubarkan setelah notis pembatalan nama dikeluarkan dalam Warta Kerajaan.

Pihak Puan boleh melantik pihak lain sekiranya pihak Syarikat tidak mahu menggunakan khidmat Setiausaha Syarikat Puan.
Diharap penjelasan ini dapat membantu Puan.

Sekian, terima kasih.