TAGLINE

TAGLINE

BERITA TERKINI

PENGARAH BAGI SYARIKAT SRIMAS KLASIK SDN BHD  DISABITKAN DENGAN KESALAHAN GAGAL MENYERAHSIMPAN PENYATA TAHUNAN KEPADA PENDAFTAR SYARIKAT (SSM) DI BAWAH SEKSYEN 165(4) AKTA SYARIKAT 1965
Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada hari ini telah mensabitkan Hasniza Binti Wazer, pengarah syarikat Srimas Klasik Sdn Bhd dengan dua pertuduhan kerana gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan syarikat-syarikat tersebut kepada Pendaftar Syarikat. Beliau telah mengaku salah bagi kesemua pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965.
Tuan Mohd Hezri Bin Shaharil, Majistret Mahkamah Petaling Jaya telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM600.00 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar denda tersebut, hukuman penjara selama tujuh (7) hari bagi setiap kesalahan yang disabitkan terhadap Hasniza Binti Wazer.
Sewaktu mitigasi hukuman, Hasniza Binti Wazer telah merayu kepada Mahkamah agar beliau dikenakan hukuman denda yang minimum kerana  beliau tidak bekerja dan menghadapi masalah kewangan. Pendakwaan dijalankan oleh Selva Rani Narainasami daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Kegagalan syarikat dan pengarah-pengarahnya untuk mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 adalah satu perlanggaran undang-undang yang serius. Tambahan pula, kegagalan untuk menyerahsimpan Penyata Tahunan kepada SSM akan menyebabkan orang awam tidak boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini bagi menentukan status sesebuah syarikat.
Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah di atas diharap dapat bertindak sebagai peringatan kepada syarikat dan pegawai-pegawainya agar sentiasa mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965.
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH : 19 OGOS 2013
PEMILIK PERNIAGAAN DIDAKWA DI BAWAH SEKSYEN 12(1)(d) AKTA PENDAFTARAN PERNIAGAAN 1956
Isnin, 29 Julai 2013 – Seorang pemilik perniagaan yang mengusahakan sebuah stesen petrol, Ghazali Bin Husain telah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang kerana melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (‘APP 1956’).
Pertuduhan terhadap Ghazali Husain, 54 tahun, antara lain menyatakan beliau telah mengemukakan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (‘SSM’) di dalam Borang C berhubung dengan notis penamatan perniagaan pada 25 Jun 2012.
Kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(d) APP 1956 membawa hukuman denda maksimum RM50,000.00 atau dua (2) tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan 30 Ogos 2013 untuk kes disebut semula selepas merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada Ghazali Husain.
En. Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dari SSM menjalankan pendakwaan bagi pihak Pendakwa Raya manakala Ghazali Husain tidak diwakili oleh peguam bela.
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH : 29 JULAI 2013

PEMBERITAHUAN

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan pelaksanaan pakej insentif bagi pengurangan fi pendaftaran baru dan pembaharuan pendaftaran perniagaan dan diskaun kepada kompaun yang belum dibayar atau yang tertunggak dan kompaun semasa yang dikeluarkan di bawah APP 1956 adalah seperti berikut:
(i)    Bayaran fi pendaftaran dan pembaharuan tahunan pendaftaran untuk pemilik tunggal dan perkongsian dikenakan bayaran RM50 untuk tempoh pendaftaran selama 5 tahun secara sekali gus (berbanding dengan jumlah fi RM150 atau RM300  yang dikenakan sekarang); dan
(ii)   bayaran kompaun semua bagi pendaftaran lewat dan pembaharuan pendaftaran lewat dikurangkan sebanyak 50%.
(iii)  pelaksanaan pakej ini akan berkuatkuasa bagi tempoh
1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012.
Permohonan bagi pakej insentif boleh dilakukan di :
(i)    Semua kaunter SSM kecuali di Sabah dan Sarawak - aktiviti pendaftaran perniagaan, pembaharuan perakuan dan pembayaran diskaun kompaun.
(ii)   Perkhidmatan e-Lodgement SSM – aktiviti  pendaftaran perniagaan dan pembaharuan perakuan.
(iii)  Semua cawangan Bank Simpanan Nasional - aktiviti pembaharuan perakuan.
SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA 
TARIKH :  1 JUN 2012

Dimaklumkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik Perakuan Pendaftaran Perniagaan dengan memasukkan ciri-ciri berikut :
i.    Tandatangan digital oleh Pendaftar Perniagaan Semenanjung Malaysia;
ii.    Di sekeliling Perakuan Pendaftaran terdapat ”border”; dan
iii.    Di penjuru atas sebelah kanan terdapat ”bar code” ciri keselamatan
Pengumuman ini dibuat untuk memaklumkan Perakuan Pendaftaran Perniagaan berbentuk baru ini adalah sah menurut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 berkuatkuasa mulai 1 Jun 2012.  
PENDAFTAR PERNIAGAAN
SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
Tarikh:  31 Mei 2012