TAGLINE

TAGLINE

Sunday, September 21, 2014

Jangan ghairah melabur di luar negara

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan mengenai keghairahan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) untuk melabur atau membeli hartanah membabitkan sejumlah besar pelaburan di luar negara.

Menurut beliau, dasar kerajaan yang menggalakkan pelaburan sedemikian rupa juga perlu diperhalusi semula kerana selain kebimbangan mengenai prospek masa hadapan, langkah berkenaan dikhuatiri menyumbang kepada aliran keluar wang negara.

Katanya, jika aliran keluar wang negara berlaku dalam jumlah yang besar dan tidak berupaya diimbangi dengan pengaliran masuk dalam jumlah serupa, kerajaan akan berdepan dengan masalah defisit sekali gus menjejaskan kesuburan ekonomi Malaysia.

"Kita kena berhati-hati dan saya bimbang mengenai aliran keluar wang ini. Bila kita beli hartanah di luar negara, ia merupakan aset yang 'immovable property' (aset yang tidak boleh digerakkan) menyebabkan kita tidak mendapat aliran masuk wang.

"Kalau aliran keluar wang ini berlaku dalam jumlah besar, kita akan berdepan dengan defisit sehingga menjejaskan sumber kewangan negara," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pembangunan Malaysia di sini hari ini.

Terbaharu, terdapat laporan yang mengatakan Lembaga Tabung Haji merancang untuk melabur sehingga RM640 juta di Detroit, Amerika Syarikat (AS) iaitu sebuah bandar yang kini disifatkan sebagai telah runtuh menyebabkan hartanahnya mengalami susut nilai.

Dilaporkan juga banyak bangunan pencakar langit di Detroit terbiar kosong sejak 10 tahun lalu dan populasi bandar tersebut yang pernah suatu ketika dahulu seramai dua juta orang kini hanya dihuni sekitar 700,000 penduduk.

Dr. Mahathir berkata, syarikat pembinaan tempatan perlu diberi lebih banyak peluang untuk menunjukkan kredibiliti mereka membina bangunan pelbagai bentuk dan ketinggian daripada memberi projek berkenaan kepada firma asing.

Menurutnya, pemberian projek-projek kepada syarikat tempatan akan dapat menghalang pengaliran keluar wang ke negara lain.

"Jika keluar (wang), ini bermakna kita akan mempunyai defisit dalam imbangan dagangan kita dan ini akan dapat dilihat dalam perbelanjaan kerajaan kerana ia mungkin perlu meminjam. "Sebaliknya, jika aliran masuk dana yang baik, imbangan akan memihak kepada kami," kata Dr. Mahathir.