TAGLINE

TAGLINE

Tuesday, October 14, 2014

71 % kebocoran maklumat disebabkan pekerja

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Para pekerja didapati bertanggungjawab membocorkan maklumat sulit syarikat, demikian hasil kaji selidik yang dijalankan oleh penyedia penyelesaian perlindungan data antarabangsa, Infowatch Group.

Pengarah Jualan Antarabangsa Infowatch Group, Vadim Kuznetsov berkata, terdapat 654 kebocoran maklumat sulit direkodkan dan dilaporkan dalam separuh pertama tahun ini, 32 peratus lebih tinggi daripada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, menurut laporan "Global Data Leakage", daripada 71 peratus kes yang dilaporkan, sebanyak 69.2 peratus membabitkan kakitangan masih bekerja manakala 1.4 peratus lagi bekas pekerja.

"Kira-kira 450 juta rekod telah terjejas termasuk data peribadi dan kewangan dalam pelbagai sektor dengan anggaran 89 peratus kebocoran maklumat melibatkan data peribadi.

"Kebocoran data langsung melibatkan 83 peratus sebagai kes kompromi maklumat, 11 peratus sebagai kebocoran direkodkan berkaitan dengan kakitangan menggunakan jawatan mereka bagi kepentingan peribadi dan lima peratus sebagai kebocoran akibat daripada kakitangan memperoleh hak akses yang lebih besar kepada maklumat," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Kuznetsov, laporan itu juga mendedahkan bahawa Amerika Syarikat berada di senarai teratas dari segi bilangan kebocoran data global dalam separuh pertama tahun ini dengan 417 kes dilaporkan, diikuti Rusia (96) dan United Kingdom (41).

Beliau berkata, perangkaan dalam laporan itu jelas menunjukkan bahawa kebocoran menerusi saluran tradisional seperti surat, emel, dokumentasi kertas, kecurian dan kehilangan peralatan masih menyumbang sebahagian besar daripada kebocoran secara tidak sengaja.

Laporan Infowatch berkenaan berdasarkan pangkalan datanya sendiri yang dikemas kini sejak 2004 meliputi kebocoran maklumat yang berlaku dalam organisasi akibat daripada tindakan kakitangan secara tidak sengaja atau sengaja dan dilaporkan dalam media atau sumber umum.

Kebocoran data dilaporkan turut berpunca daripada serangan luaran seperti serangan disasarkan dan penggodam.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20141013/ko_01/71-kebocoran-maklumat-disebabkan-pekerja#ixzz3GAhLARJT
© Utusan Melayu (M) Bhd