TAGLINE

TAGLINE

Thursday, October 16, 2014

Usahawan bumiputera perlu ada penggerak

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Usahawan bumiputera perlu mempunyai entiti penggerak yang berupaya memperjuangkan nasib mereka sama ada membabitkan isu modal, pembiayaan kewangan mahupun pemasaran produk ke luar negara.

Presiden Generasi Muda Berjaya (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, keadaan itu boleh dilihat apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dibubarkan enam tahun lalu dan agenda pemerkasaan usahawan bumiputera diletakkan di bawah portfolio pelbagai kementerian.

Bagaimanapun katanya, setiap kementerian yang dipertanggungjawabkan itu mempunyai fokus dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang berbeza hingga menyebabkan agenda sebenar dalam membangunkan usahawan bumiputera terus terbantut dan tidak mencapai matlamatnya.

Jelas beliau, isu penempatan usahawan bumiputera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) juga tidak akan timbul sekiranya terdapat sebuah kementerian yang boleh memastikan penyertaan bumiputera dalam projek inisiatif kerajaan.

"Dengan adanya penggerak iaitu menerusi sebuah kementerian yang memberi fokus kepada agenda ini, isu-isu berkaitan usahawan bumiputera boleh dibentangkan ke kabinet. Tetapi masalahnya sekarang, siapa yang bertanggungjawab membawa perkara ini ke kabinet?

"Malah, saya juga berpendapat isu klia2 juga tidak akan timbul sekiranya ada kementerian yang boleh menangani masalah usahawan bumiputera dengan lebih cepat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, GMB juga berhasrat untuk melihat sebuah ekosistem yang kondusif dan mesra kepada usahawan bumiputera dapat dibentuk di negara ini dengan wujudnya penggerak yang membela masa depan mereka.

Dalam pada itu, beliau berharap peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta di bawah Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) yang diumumkan pada Bajet 2015 dapat mengatasi masalah 80 peratus usahawan muda bumiputera yang dikenal pasti berhadapan dengan masalah modal yang kritikal dalam mengembangkan perniagaan.

Katanya, langkah yang dibuat kerajaan itu juga amat bertepatan memandangkan ekosistem institusi kewangan yang dilihat kurang yakin untuk memberi pinjaman kepada syarikat-syarikat baharu atau berteraskan inovasi hingga menyekat idea dan peluang mereka dalam menghasilkan produk yang inovatif.
Agil Faisal berkata, GMB akan membuat penilaian tentang Bajet 2014 melalui forum yang adakan pada November ini untuk melihat sama ada peruntukan tersebut telah disalurkan dengan tepat kepada usahawan-usahawan terlibat.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20141014/ek_02/Usahawan-bumiputera-perlu-ada-penggerak#ixzz3GMIIKbiX
© Utusan Melayu (M) Bhd