TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, October 8, 2014

Pengurangan subsidi minyak bukti pembaharuan kewangan kerajaan

KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan terhadap pembaharuan kewangan negara ditunjukkan menerusi kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 2 Oktober, kata MIDF Research.
"Kami tidak boleh meremehkan betapa pentingnya mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan kerana keteguhan kewangan kerajaan adalah kepentingan strategik terhadap kesejahteraan negara," kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Ini terutamanya berhubung penarafan negara, keyakinan pelabur global dan kemampuan berterusan kerajaan untuk menyediakan sokongan ketika kelembapan ekonomi, katanya.
Semalam, ringgit mengetuai mata wang lain di Asia dalam meraih keuntungan apabila ia menokok paling tinggi dalam tempoh hampir dua bulan, sebagai maklum balas terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api untuk kali pertama kali dalam tempoh 13 bulan, kata firma itu lagi.
"Tambahan pula, pasaran ekuiti tempatan menyusut kurang daripada 0.5 peratus semalam berbanding kemerosotan antara satu dan tiga peratus dalam kalangan bursa utama serantau susulan penjualan besar-besaran di Wall Street," katanya.
Akan tetapi, keputusan menaikkan harga bahan api yang dibuat atas tujuan baik itu akan meningkatkan kadar inflasi menerusi pelarasan harga primer selain kesan-kesan sekunder.
"Harus difahami kenaikan kos akibat inflasi berbanding disebabkan permintaan, berkecenderungan memberi tekanan kepada margin perniagaan," kata MIDF Research. - BERNAMA