TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, October 8, 2014

Agenda jangka panjang ekonomi Bumiputera perlu diteruskan

Pasaran kewangan menanti dengan penuh debaran Bajet 2015 yang akan dibentangkan Jumaat ini. Ia adalah bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) sebelum RMK-11 dibentangkan bulan Mei tahun hadapan. Bajet ini juga adalah yang terakhir sebelum Malaysia memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015 pada kadar 6 peratus.

Agak menarik kerajaan sudah mengambil inisiatif untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan rakyat melalui laman web peribadi Perdana Menteri. Pastinya banyak cadangan yang terkumpul boleh diguna pakai oleh penggubal bajet tahun ini.

Jangkaan MIDF Investment adalah kerajaan akan memperkenalkan Bajet 2015 yang ketat berbanding beberapa bajet lalu. Dalam suasana ekonomi yang agak sihat dengan kadar pertumbuhan mapan, kerajaan dijangka mengambil peluang untuk terus mengemaskini kedudukan kewangannya sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan pada tahun 2010. Kerajaan mungkin mengunjurkan defisit untuk terus turun kepada 3 peratus daripada KDNK tahun 2015, selaras dengan sasaran bajet seimbang menjelang 2020.

Antara isu yang kian membahang, dengan spekulasi dan persoalan yang semakin membahang antara pihak industri dengan penggubal dasar ialah program rasionalisasi bahan api. Subsidi adalah antara topik ekonomi paling kontroversi ketika ini, bukan saja di Malaysia, bahkan juga di Indonesia dan Thailand. Program subsidi yang lebih cekap dan efektif sudah dikenal pasti sebagai antara langkah untuk mengurangkan defisit Kerajaan Persekutuan.

Program rasionalisasi bahan api adalah rancangan untuk memperkenalkan sistem baharu mengekang penyeludupan dan ketirisan dalam pengedaran minyak dan diesel subsidi. Tarikh pelaksanaan yang pada mulanya dijadualkan seawal bulan Mei ditangguh dua kali. Bajet 2015 dijangka cuba untuk menghentikan segala spekulasi dengan menghuraikan program rasionalisasi bahan api secara komprehensif dan jelas.

Langkah menangguhkan pelaksanaan program itu menyebabkan persepsi negatif rakyat, seolah-olah sengaja dilakukan demi memberi ruang kepada pemain tertentu dalam industri berkenaan. Kerajaan perlu mengambil peluang dalam Bajet 2015 untuk meyakinkan rakyat bahawa program rasionalisasi bahan api yang akan dilaksanakan adalah kaedah terbaik untuk menangani isu penyalahgunaan subsidi sedia ada.

Pelaksanaan program itu mestilah berdasarkan prinsip ketelusan, tanpa sebarang pihak mengambil kesempatan mengaut untung luar biasa. Tidak kurang pentingnya, kerajaan perlu meyakinkan rakyat bahawa program itu akan dijalankan dengan cekap, terutama isu kritikal perihal ciri keselamatan. Sekiranya MyKad dijadikan platform untuk memastikan kesahihan warga negara dan kelayakan, data peribadi rakyat Malaysia perlu dilindungi tanpa sebarang kompromi.

Selain memperkasa kewangan kerajaan, Bajet 2015 diharap dapat terus memperkasa keupayaan masyarakat Bumiputera untuk lebih berdaya saing tatkala ekonomi giat berkembang. Usaha merapatkan jurang antara kaum perlu diteruskan kerana ia adalah punca utama ketidakstabilan sosial.

Daripada sudut sosio-ekonomi, Bumiputera masih lagi berada di kelompok bawah. Kajian pendapatan isi rumah yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2012 mendapati, Bumiputera masih lagi mengungguli kohort purata pendapatan kasar bulanan terendah iaitu RM4,457 berbanding Cina (RM6,366) dan India (RM5,233).

Agenda untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam modal ekuiti korporat negara daripada kadar semasa 24 peratus kepada 30 peratus pada tahun 2020 perlu dipergiatkan. Dalam Bajet 2014, kerajaan memberi tanggungjawab kepada SME Bank Bhd untuk menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera (EkuiBumi) dengan peruntukan RM300 juta bagi menyediakan pinjaman kepada syarikat Bumiputera yang boleh dipercayai untuk mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia. Penubuhan dana itu adalah antara usaha kerajaan bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan keusahawanan serta membuka peluang bagi Bumiputera untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

Bagaimanapun, ini adalah langkah jangka pendek. Kegagalan Bumiputera meningkatkan pegangan ekuiti dalam mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan bukanlah disebabkan oleh kekurangan bantuan kerajaan, tetapi lebih berpunca dari kurangnya daya bersaing. Ini adalah isu jangka panjang yang perlu kita atasi.

Banyak kajian menunjukkan hubung kait yang kuat antara tahap pendidikan dan kemakmuran ekonomi sesebuah negara atau bangsa. Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang juga seorang profesor ekonomi, Ben Bernanke mengisytiharkan bahawa "pendidikan adalah pelaburan terbaik". Penjimatan terhasil oleh program rasionalisasi bahan api sebaiknya dilaburkan semula dalam sektor pendidikan khusus untuk Bumiputera.

Mengikut Laporan Indeks Daya Saing Global 2014-2015 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang baharu di keluarkan awal September, Malaysia adalah negara ke-20 paling kompetitif di antara 144 negara di dunia. Pengiraan indeks itu mengambil kira beberapa teras termasuk kecekapan sistem pendidikan. Mengikut laporan berpengaruh itu, walaupun Malaysia menduduki tangga ke-20 keseluruhannya, kedudukannya untuk segmen Pendidikan Tinggi dan Latihan adalah di tangga 46. Malah, skor untuk segmen ini menurun daripada 4.80 kepada 4.68.

Justeru, melihat kepada betapa pentingnya sistem pendidikan dalam melahirkan modal insan unggul untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing, MIDF Investment menjangka kerajaan akan memperuntukkan perbelanjaan yang lebih kepada sektor pendidikan dalam Bajet 2015. MIDF berharap agar tumpuan dikembalikan kepada golongan Bumiputera berkelayakan, dengan bantuan untuk mendapat pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia, terutamanya di peringkat tinggi.

Ramai usahawan dan ahli korporat Bumiputera yang berjaya, dihasilkan menerusi program biasiswa kerajaan tahun 1970-an dan 1980-an. Usaha itu juga turut meningkatkan golongan menengah Bumiputera. Tanpa bantuan kerajaan, mereka ini pasti tidak akan dapat menikmati pendidikan tinggi yang berkualiti dan bertaraf dunia. Sementara itu, kerajaan boleh mencungkil usahawan Bumiputera berbakat yang mungkin tidak bernasib baik dan gagal di dalam cubaan perniagaan masing-masing.

Bukan semua manusia dilahirkan dengan naluri semula jadi untuk menjadi usahawan. Ramai cerdik pandai yang mempunyai IQ tinggi tidak berkeupayaan menjadi usahawan berjaya. Golongan usahawan yang muflis perlu dihormati kerana mempunyai keberanian untuk mengambil risiko dan membabitkan diri dalam perniagaan. Mereka ini mempunyai pengalaman di dalam erti kata kegagalan. Kajian menunjukkan bahawa perniagaan yang dibina oleh "usahawan mula semula" tumbuh lebih laju daripada perniagaan usahawan baru dari segi perolehan dan pekerjaan.

Tiap-tiap tahun, terdapat ramai usahawan diisytiharkan muflis. Majoritinya adalah Bumiputera. Malah, ramai usahawan Bumiputera muflis disebabkan Krisis Kewangan Asia 1998 dan Krisis Kewangan 2008 masih belum pulih. Ramai pula muflis disebabkan isu teknikal, yang tiada hubung kait dengan kebolehan keusahawanan mereka, contohnya disebabkan menjadi penjamin.

Justeru, sebuah agensi Kerajaan perlu dipertanggungjawabkan untuk membina pangkalan data usahawan Bumiputera yang muflis dan membantu golongan ini. Usahawan muflis yang berkemampuan perlu diberi peluang kedua untuk bangun semula membina sebuah perniagaan yang berjaya. Program membina balik usahawan yang gagal akan membentuk generasi usahawan yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran pasaran dunia.