TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, November 25, 2015

PENGARAH-PENGARAH SYARIKAT MEGASTAR RESOURCES SDN BHD DISABITKAN BAGI KESALAHAN KETIDAKPATUHAN DI BAWAH AKTA SYARIKAT 1965

Pada 20Mac 2014, Majistret di Mahkamah Majistret Georgetown, Puan Catherine Nicholas telah mensabitkan pengarah-pengarah syarikat Megastar Resources Sdn Bhd setelah mereka mengaku salah ke atas tiga pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 165 Akta Syarikat 1965 bagi tahun takwim 2010, 2011 dan 2012.
Sim Chung Seng, 55, dan Teoh Tiang Hoe,36, masing-masing telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,000 setiap seorang atau penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.  Kedua-dua pengarah telah menjelaskan denda yang dikenakan. 
Syarikat juga telah dikenakan penalti ingkar sebanyak RM30.00 sehari untuk setiap pertuduhan sekiranya gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh hukuman dijatuhkan.
Di dalam rayuan mitigasi, tertuduh yang diwakili peguambela Encik Kek Boon Wei,  telah memohon supaya dikenakan denda yang ringan memandangkan mereka adalah pesalah pertama dan syarikat kini dalam proses untuk menyediakan dokumen berkanun berkenaan untuk diserahsimpan kepada Pendaftar Syarikat. Pendakwaan dijalankan oleh Encik Muhammad Nasrizal Saidin dari SSM Pulau Pinang.
Kegagalan mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 yang dilakukan oleh mana-mana pengarah syarikat adalah satu perlanggaran undang-undang yang serius. Kegagalan mematuhi kehendak undang-ungang seperti memfailkan penyata tahunan beserta penyata akuan beraudit syarikat kepada Pendaftar Syarikat akan mengakibatkan orang awam tidak mendapat maklumat yang tepat dan jelas bagi menentukan kestabilan dan keukuhan sesebuah syarikat berkenaan.
Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah tersebut diharapkan memberi peringatan kepada syarikat dan pegawai-pegawai syarikat agar sentiasa mematuhi Akta Syarikat 1965.
SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)