TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, November 25, 2015

PENGARAH SYARIKAT NOBLE PALACE SDN BHD DISABITKAN DENGAN KETIDAKPATUHAN DI BAWAH AKTA SYARIKAT 1965

Pada 20 Mac 2014, pengarah syarikat Noble Palace Sdn Bhd (711758-A), Teoh Tiang Hoe, 36, telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang untuk pertuduhan di bawah Seksyen 165(4) Akta Syarikat 1965 bagi tahun-tahun takwim 2010, 2011 dan 2012.
Majistret Puan Catherine Nicholas telah menjatuhkan hukuman denda sejumlah RM1,000 bagi setiap pertuduhan atau 2 bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.  Syarikat juga telah dikenakan penalti ingkar sebanyak RM30.00 sehari untuk setiap pertuduhan sekiranya ia gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh hukuman dijatuhkan.
Di dalam rayuan mitigasi, tertuduh yang diwakili peguambela, Encik Kek Boon Wei telah memohon supaya dikenakan denda yang ringan memandangkan beliau adalah pesalah pertama dan syarikat kini dalam proses untuk menyediakan dokumen berkanun berkenaan untuk diserahsimpan kepada Pendaftar Syarikat. Pendakwaan dijalankan oleh Encik Muhammad Nasrizal Saidin daripada SSM Pulau Pinang.
Kegagalan mematuhi kehendak Akta Syarikat 1965 yang dilakukan oleh mana-mana pengarah syarikat adalah satu perlanggaran undang-undang yang serius. Kegagalan mematuhi kehendak undang-ungang seperti memfailkan penyata tahunan beserta penyata akuan beraudit syarikat kepada Pendaftar Syarikat akan mengakibatkan orang awam tidak mendapat maklumat yang tepat dan jelas bagi menentukan kestabilan dan keukuhan sesebuah syarikat berkenaan.
Hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah tersebut diharapkan memberi peringatan kepada syarikat dan pegawai-pegawai syarikat agar sentiasa mematuhi Akta Syarikat 1965.
SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)