TAGLINE

TAGLINE

Monday, July 10, 2017

PENGARAH SYARIKAT DIDAPATI BERSALAH ATAS KEGIATAN PELARIAN CUKAI DI BAWAH SEKSYEN 114(1)(b) AKTA CUKAI PENDAPATAN 1967






SHAH ALAM, 14 Jun – Seorang pengarah syarikat Ayam Wira Food Processing Sdn Bhd mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada hari ini atas pertuduhan secara sengaja dan dengan niat untuk mengelak cukai membuat penyataan atau kemasukan palsu di dalam Borang C bagi tahun-tahun taksiran 2012 dan 2013.

Lim Poh Choo, 66 tahun menghadapi 2 pertuduhan di bawah Seksyen 114(1)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang membawa kepada hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000.00 dan tidak lebih daripada RM20,000.00 atau boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda dari amaun cukai yang terkurang.

Berdasarkan siasatan yang telah dijalankan oleh pasukan penyiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), syarikat Ayam Wira Food Processing Sdn Bhd didapati telah membuat penyataan atau kemasukan tidak betul atau palsu di dalam Borang C bagi tahun taksiran 2012 dan 2013 berkenaan tuntutan pembelian perdagangan palsu masing-masing berjumlah RM2,648,098.00 dan RM374,448.00 dengan membuat pemalsuan ke atas invois-invois belian milik 7 syarikat pembekal  yang melibatkan 31 transaksi. 

Hasil siasatan pasukan penyiasat LHDNM terhadap transaksi-transaksi tersebut mendapati belian yang dituntut oleh syarikat Ayam Wira tersebut bukanlah belian sebenar syarikat tersebut dengan 7 syarikat pembekal berkenaan sebaliknya merupakan transaksi belian syarikat-syarikat pembekal    dengan 31 pelanggan sebenar yang lain. Pasukan penyiasat LHDNM turut mendapati tiada rekod kemasukan atau penerimaan stok barangan yang sebenar dibuat ke atas  tuntutan belian palsu berkenaan. Akibat daripada tuntutan belian palsu tersebut, cukai syarikat Ayam Wira Food Processing Sdn Bhd bagi tahun taksiran 2012 dan 2013 telah terkurang masing-masing sebanyak RM662,024.50 dan RM93,612.00.

Terdahulu kes telah ditetapkan untuk perbicaraan yang menyaksikan 3 orang saksi pendakwaan telah hadir untuk memberi keterangan di Mahkamah. Walau bagaimanapun, tertuduh telah menukar pengakuannya kepada pengakuan bersalah apabila pertuduhan bagi kedua-dua kesalahan tersebut dibacakan semula. Setelah mendengar pengakuan bersalah tertuduh dan meneliti dokumen-dokumen pembuktian pihak pendakwaan serta mempertimbangkan hujahan berkenaan hukuman daripada kedua-dua pihak, Majistret Puan Sarulatha A/P Paramavathar telah mensabitkan tertuduh dengan kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM13,500.00 iaitu RM10,000.00 bagi pertuduhan pertama, gagal bayar 6 bulan penjara dan RM3,500.00 bagi pertuduhan kedua, gagal  bayar 2 bulan penjara.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar penalti khas tiga kali ganda dari amaun cukai terkurang bagi kedua-dua tahun yang keseluruhannya berjumlah RM2,266,909.50.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa LHDNM Encik Mohd Shafuddin Hasan dibantu oleh Cik Norsyamimi Bukhari manakala tertuduh diwakili oleh Peguambela Encik S. Preakas.

Sumber dari : Kenyataan Media LHDNM