TAGLINE

TAGLINE

Thursday, February 23, 2017

SETIAUSAHA SYARIKAT, PELUKIS PELAN DIDAKWA

 
RASAH 22 Feb. - Seorang setiausaha sebuah syarikat dan pelukis pelan dihadapkan di Mahkamah Se­syen Seremban di sini hari ini atas 11 pertuduhan terlibat dalam peng­ubahan wang haram berjumlah lebih RM10.3 juta, tiga tahun lalu.
Kedua-dua lelaki itu, Noor Hazaini Yahya, 44, dan Mohamad Najib Kamis, 40, yang masing-masing berhadapan tujuh dan empat pertuduhan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Fathiyah Idris dan Hakim G. Ramesh.
Noor Hazaini didakwa mene­rima sejumlah RM8,933,229.76 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaun tertuduh di Maybank Berhad, Public Bank Berhad, RHB Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang juga setiausaha sebuah syarikat di bank-bank di Seremban dan Nilai dekat sini antara 8 Ogos 2014 dan 29 Januari 2015.
Mohamad Najib pula didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,374,499.66 ke dalam akaunnya di Maybank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad di Nilai serta RHB Bank Berhad di sebuah pasar raya di Senawang antara 25 Oktober 2014 dan 30 Januari 2015.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Peng­ubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan juga memohon agar kesemua kes membabitkan kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama beberapa tertuduh lain membabitkan kes serupa baru-baru ini.
Fathiyah membenarkan Noor Hazaini diikat jamin RM8,000 bagi kesemua pertuduhan ma­nakala Ramesh membebaskan Mohamad Najib dengan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertu­duhan masing-masing dengan seorang penjamin sementara me­nunggu sebutan semula kes pada 3 Mei dan 12 Mei ini.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Noor Hazaini diwakili pegu­am Mohd. Harris Abdullah dan Mohd. Faizi Che Abu manakala Mohamad Najib diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan tersebut.
Pada 10 Februari lalu, Noor Hazaini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan me­nyalahgunakan wang berjumlah RM6.55 juta milik Maybank Islamic Berhad dan satu pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram lebih RM3 juta.
Empat lelaki lain termasuk abang Noor Hazaini, Nor Yasmi, 45, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalah guna wang berjumlah RM4.43 juta milik institusi kewangan sama.
Sumber : Utusan Online
Tarikh : 23 Februari 2017