JAKARTA - Seramai 7,317 warga Indonesia adalah pemegang saham dalam sejumlah syarikat yang didaftarkan di Malaysia pada masa ini.
Pada masa yang sama, pengarah syarikat dalam
kalangan warga Indonesia di Malaysia pula berjumlah 10,989 orang, demikian
menurut data yang dibentangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM) Mohd Naim Daruwish di forum perniagaan Malaysia-Indonesia
di sini pada Sabtu.
Forum perniagaan itu dipengerusikan oleh
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia Datuk
Hassan Malek.
Mohd Naim juga berkata sejumlah lapan syarikat
Indonesia yang beribu pejabatdi Indonesia, telah mendaftarkan syarikat cawangan
mereka di Malaysia.
Syarikat itu ialah P.N. Palajaran Nasional
Indonesia; PT Merpati Nusantara Airlines; PT Lion Mentari; Rekayasa Industri PT, PT Bank Syariah Muamalat
Indonesia, TBK; KSO-SCISI; PT Riau Airlines dan PT Wings Abadi.
Empat daripadanya adalah dalam bidang
pengangkutan dan penyimpanan masing-masing satu dalam bidang pembinaan,
pendidikan; aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (aktiviti profesional,
saintifik dan teknikal) dan aktiviti perkhidmatan lain.
Setakat April tahun ini, sejumlah 1,033,709
syarikat telah berdaftar dengan SSM yang terdiri daripada 1,029,192 syarikat
tempatan dan 4,517 syarikat asing.
Data daripada laporan itu juga menunjukkan
bahawa syarikat-syarikat asing yang berdaftar dengan SSM dalam tempoh 13 tahun
lalu meningkat setiap tahun daripada 3,896 syarikat pada tahun 2000 kepada
4,517 syarikat pada April, 2013. - Bernama
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/