TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, October 1, 2014

Emkay perkasa vendor bumiputera

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Sebanyak 60 vendor syarikat bumiputera terlibat dalam program perintis yang dilaksanakan oleh Kumpulan Emkay dan syarikat bersekutunya, Setia Haruman Sdn. Bhd. dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, program tersebut bertujuan mewujudkan satu platform kerjasama latihan dan penggunaan peralatan untuk meningkatkan kualiti kerja vendornya.
Menurutnya, program tersebut diberi keutamaan kepada vendor bumiputera, dalam masa yang sama, ia turut terbuka kepada vendor bukan bumiputera yang berminat.
"Satu memorandum persefahaman (MoU) antara CIDB dengan Kumpulan Emkay diadakan untuk berkongsi kemudahan fikizal dalam mengadakan latihan dan kursus jangka pendek.
"Selain itu, program ini turut membantu vendor yang terlibat dalam meningkatkan profesionalisme serta budaya kerja yang meliputi tiga elemen penting iaitu kualiti, ketepatan masa dan kos yang ditetapkan," katanya selepas menandatangani MoU di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani Mustapha Kamal bagi pihak Kumpulan Emkay dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim serta Pengarah Eksekutif Kumpulan Emkay, Ahmad Khalif Mustapha Kamal.

Sementara itu, Judin berkata, sebagai permulaan, aktiviti pertama yang akan dilaksanakan dalam MoU itu adalah penganjuran Kursus Kesedaran Qlassic yang bermula hari ini.
"Qlassic merupakan satu sistem untuk mengukur dan menilai kualiti hasil kerja pembinaan melalui Standard Industri Pembinaan (CIS 7:2006). Sistem ini membolehkan hasil kerja pembinaan dibandingkan antara satu projek dengan projek yang lain menerusi satu sistem pemarkahan," katanya.
Kumpulan vendor bumiputera yang terlibat merupakan vendor-vendor berdaftar dengan Emkay hasil daripada MoU yang ditandatangani bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Jun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140930/ko_07/Emkay-perkasa-vendor-bumiputera#ixzz3Ewmoakbk
© Utusan Melayu (M) Bhd