TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, October 1, 2014

Sindiket penipuan/pemerdagangan menggunakan nama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Kuala Lumpur, 22 September 2014 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menerima laporan bahawa terdapat segelintir pihak/individu yang menganjur, melaksana, atau menjalankan aktiviti berunsur penipuan/pemerdayaan dengan menggunakan nama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pihak/Individu yang tidak bertanggungjawab terbabit telah mendekati peniaga dengan niat untuk mendapatkan sejumlah bayaran yang dikatakan adalah merupakan bayaran yuran bagi persediaan GST yang dikenakan oleh SSM dan Kementerian Kewangan. Peniaga telah diminta memindahkan wang ke akaun persendirian atas nama individu tertentu.


Ditegaskan bahawa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang berfungsi selaku Pendaftar, pengawalselia, pembekal maklumat dan penasihat korporat. SSM bertindak berlandaskan kuasa yang diperuntukan di dalam Akta-Akta yang ditadbir dan tidak pernah menganjur mahupun melantik mana-mana pihak/individu bagi tujuan mengumpul dana atau mengutip sebarang bayaran tambahan bagi tujuan/aktiviti selain dari yang diperuntukkan oleh perundangan terbabit.
Sehubungan itu, ingin dimaklumkan bahawa SSM tidak pernah melantik agen/individu bertujuan mengutip yuran untuk penyediaan pelaksanaan GST. SSM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak atau individu yang mengelirukan orang awam dan mencemar reputasi SSM selaku agensi kerajaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Untuk sebarang pertanyaan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-7721 4000, email di alamat enquiry@ssm.com.my, melayari laman sesawang SSM di www.ssm.com.my atau hadir ke kaunter SSM di seluruh Negara.
SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
22 SEPTEMBER 2014