Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, kerjasama dengan lebih banyak syarikat swasta diperlukan bagi menyediakan program latihan tersebut.
Katanya, ketika ini terdapat 120 syarikat terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang terlibat dalam skim terbabit.

“Kami berharap dapat mencapai sasaran terbabit dengan syarikat sedia ada dan juga syarikat lain yang diharap dapat turut serta dalam skim ini. Kami mengalu-alukan semua jenis syarikat untuk terlibat dalam menyediakan latihan SL1M tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program SL1M Celcom di Menara Celcom di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd., Datuk Shazalli Ramly.

Sehingga ini, sebanyak 17,392 graduan telah menyertai SL1M yang melibatkan program latihan holistik dan komprehensif dalam pekerjaan selama 12 bulan yang menawarkan pelatih pengalaman bekerja sebenar.
Sementara itu, Celcom telah merekrut seramai 136 pelatih di seluruh negara melalui program SL1M di bawahnya sejak Oktober tahun ini.

Shazalli berkata, pihaknya bersedia untuk menambah bilangan pelatih dalam usaha untuk melahirkan belia yang mempunyai kebolehan yang diperlukan untuk menyediakan mereka pada alam pekerjaan.