Perdana Menteri berkata, syarikat tempatan perlu mencontohi kejayaan Kumpulan CIMB yang kini bukan sahaja muncul sebagai bank tempatan terbesar tetapi memiliki cawangan terbanyak di ASEAN, selain peneraju kepada perbankan Islam antarabangsa.

“Saya harap syarikat tempatan mengambil inspirasi kejayaan CIMB, mereka tidak hanya sekadar selesa sebagai jaguh kampung tapi bercita-cita mahu menjadi jaguh serantau dengan membawa bendera Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Menara Baharu CIMB setinggi 40 tingkat yang akan menjadi ibu pejabat baharu bank tersebut di KL Sentral di sini malam ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Najib berkata, CIMB yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 20,000 warga tempatan dan 40,000 penduduk ASEAN memainkan peranan cukup signifikan dalam menjayakan per­kembangan ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, ketika ini, CIMB telah memberi perkhidmatan kewangan kepada 13 juta pelanggan sehingga bukan sahaja memboleh­kan orang ramai memiliki kediaman, mengusahakan perniagaan tetapi turut menikmati tempoh persaraan yang selesa.

Jelas Perdana Menteri, beliau yakin kejayaan CIMB akan terus marak pada masa depan memandangkan barisan kepemimpinan bank itu terbukti memiliki perancangan yang teliti di samping sistem pengurusan cemerlang.

Mengakui bangga dengan kejayaan CIMB, Najib berkata, beliau mempunyai nilai sentimental dengan bank berkenaan kerana pada 1974, arwah bapanya, Tun Abdul Razak Hussein melancarkan bank tersebut yang ketika itu dikenali Pertanian Baring Sanwa.

“Hari ini dua anaknya hadir selaku Perdana Menteri dan Pengerusi untuk kembali merasmikan Menara Baharu CIMB. Sesungguhnya CIMB adalah satu daripada sejarah manis kejayaan sektor swasta negara,” katanya.