Sebanyak dua siri penyerahan pembiayaan itu dijalankan pada Oktober dan bulan lalu di Balik Pulau dekat sini, manakala siri ketiga diadakan di Kepala Batas semalam.

Pengarah Mara negeri, Yahaya Sani berkata, sebanyak RM597,000 diserahkan kepada 62 usahawan semalam meliputi daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut.

"Jumlah dana yang diterima setiap usahawan bergantung pada keperluan mereka dengan pembiayaan antara RM8,000 dan maksimum dana sebanyak RM10,000.

"Apa yang menarik mengenai pembiayaan Putra ini tidak ada faedah, tanpa penjamin yang boleh disifatkan sebagai 'friendly loan’," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek pembiayaan Putra oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sementara itu, Reezal Merican menasihatkan para usahawan menjadikan dana Mara tersebut sebagai permulaan untuk mengembangkan perniagaan dan bergerak lebih jauh.

Beliau berkata, usahawan terutama orang Melayu perlu membawa keberhasilan daripada dana yang diberikan, bukannya perbelanjaan yang akhirnya merugikan mereka sendiri.

Sementara itu, bagi seorang bekas pelatih Giat Mara yang turut mendapat pembiayaan itu, Siti Fairus Shaikh Fuad, 35, berkata, dana yang diterima akan digunakan bagi memperluaskan perniagaan spa kecantikannya yang diusahakan sejak enam tahun lalu.

"Banyak manfaat yang diterima daripada Mara yang ditawarkan menerusi Kelab Usahawan Giat Mara termasuk menjadi pembekal atau tenaga pengajar bagi melatih pelajar-pelajar baharu.

"Kami mampu mengembangkan perniagaan dengan dana yang disediakan yang lebih mesra peminjam dengan kadar bayaran balik yang rendah dan fleksibel, " ujarnya yang berasal dari Jelutong dekat sini.