Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, tempoh bertenang hampir dua tahun yang disediakan oleh kerajaan dilihat memadai membolehkan semua peniaga untuk memahami GST.

Katanya, hampir setiap minggu pelbagai program GST dianjurkan sama ada oleh pihak kerajaan mahupun syarikat perniagaan sendiri.

“Terlalu banyak program mengenai GST diadakan, jadual saya sendiri cukup sibuk dengan menyertai pelbagai program berkaitan GST yang diadakan.

“Saya fikir peniaga (milik kaum Cina) sudah bersedia untuk GST dan pemahaman mereka juga semakin baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 pada Oktober 2013 telah mengumumkan melaksanakan GST. Tempoh diberikan kira-kira 18 bulan sebelum cukai itu berkuatkuasa pada 1 April 2015.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wee Hong berkata, persatuannya yang mewakili 6,000 ahli sebahagian besarnya merupakan peniaga kaum Cina menyokong pelaksanaan GST.

Beliau berkata, pihaknya memberi komitmen yang tinggi termasuk menjalankan program-program pendedahan GST secara bergerak (roadshow) kepada ahli-ahli di seluruh negara.

Kata beliau, perunding juga dilantik terdiri daripada pihak yang dapat menyediakan perisian GST kepada ahli-ahlinya bagi menjalankan perniagaan setelah GST berkuat kuasa.