KOTA BHARU 16 Nov. - Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara digesa merebut peluang mempromosi produk masing-masing semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dianggarkan kira-kira 10,000 daripada 643,000 usahawan PKS berjaya menembusi pasaran ASEAN pada masa ini.
“Jumlah itu terlalu kecil dan begitu juga pasaran tempatan kerana penduduk di negara ini hanya sekitar 30 juta orang. Bagaimanapun, penduduk di seluruh ASEAN dianggar 620 juta orang dan bayangkan kalau kita dapat menjual kicap, cili sos, budu ataupun keropok di pasaran tersebut.
“Oleh itu, usahawan PKS perlu berusaha dan giat mempromosi produk mereka bagi menembusi pasaran asing supaya perniagaan dapat berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Halal PKS Kelantan 2014, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kelantan, Azran Deraman.
Menurut Mustapa, pelan induk untuk membangun dan melonjakkan PKS sejak tahun 2012 hingga 2020 telah dirangka kerana industri itu banyak menyumbang kepada guna tenaga dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di negara ini.
“Untuk menonjolkan kejayaan negara dalam bidang PKS, kementerian merancang mengadakan pameran dan seminar besar-besaran yang akan membabitkan pemain industri itu dari seluruh ASEAN,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/usahawan-pks-8232-perlu-rebut-peluang-1.25586#sthash.ghsOef3e.dpuf