Berdasarkan kedudukan ringgit yang lemah serta penurunan harga minyak mentah, pelaksanaannya menjadi lebih penting kerana kerajaan dijangka mengutip hasil sebanyak RM23 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama pelaksanaan GST mulai 1 April.

GST Malaysia pada kadar enam peratus, antara paling rendah di dunia, juga dijangka menyumbang RM32 bilion hasil untuk setahun penuh pada 2016, dan mengimbangi sebarang penurunan hasil daripada petroleum.
Oleh itu, gesaan oleh pihak tertentu supaya pelaksanaan GST ditangguhkan tidak ‘masuk akal’ daripada aspek ekonomi memandangkan ia sangat penting untuk meningkatkan kedudukan kewangan ketika negara pengeluar minyak terjejas teruk akibat harga minyak mentah yang rendah.

Pelaksanaan GST juga tepat pada masanya memandangkan ketelusannya akan dapat menangani golongan pengelak cukai atau mengisytiharkan kadar cukai yang lebih rendah daripada sepatutnya, dan dalam proses itu menangani ketirisan dalam ekonomi dengan mengurangkan saiz 'ekonomi bayang
an'.

Ekonomi bayangan atau 'ekonomi bawah tanah' dianggarkan bernilai kira-kira 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Menangguhkan pelaksanaan GST hanya akan memberi manfaat kepada pihak yang tidak bertanggungjawab, selain pengelak cukai.

Gesaan supaya GST ditangguhkan juga menimbulkan persoalan sama ada parti pembangkang yang mahu regim percukaian baharu itu ditangguhkan, berjuang untuk kategori berpendapatan rendah atau realitinya melindungi perniagaan yang mahu mengelak cukai.
Di Malaysia, isi rumah berpendapatan rendah membelanjakan pendapatan mereka ke atas barangan dan perkhidmatan, yang sama ada sifar cukai atau dikecualikan cukai.

Justeru, GST di Malaysia merupakan progresif secara semula jadi.

Oleh itu, GST sebagai sistem kutipan cukai yang telus dan cekap, mesti dilaksanakan mengikut jadual pada 1 April, dan kerajaan tidak perlu melayani gesaan pembangkang untuk menangguhkannya.

Selain GST, keupayaan Malaysia mengurangkan defisit bajet, menyokong asas ekonomi negara berikutan kemasukan berterusan pelaburan luar.

Penganalisis berkata, pelabur jangka panjang, ada yang sudah melebihi 100 tahun - yang terus mengekalkan pelaburan di Malaysia, membuktikan bahawa negara ini sentiasa menjadi destinasi pelaburan yang stabil.

Berdasarkan kelulusan dalam tempoh Januari-Julai 2014 sahaja oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sudah melepasi jumlah pelaburan yang diluluskan dalam keseluruhan 2013.

MIDA meluluskan pelaburan bernilai RM53.2 bilion dalam tempoh tujuh bulan berbanding pelaburan bernilai RM52.1 bilion pada 2013.

Walaupun wujud kebimbangan ke atas kedudukan ringgit yang lemah berbanding dolar US selain kejatuhan harga minyak dunia, situasi ini tidak mencemaskan memandangkan Malaysia sudah melalui krisis kewangan sebelum ini.

Malaysia sudah diuji semasa krisis kewangan Asia 17 tahun lepas yang menyaksikan ringgit diserang penyangak mata wang, menyebabkan ringgit mencecah paras terendah pada RM5.20 berbanding dolar suatu ketika pada 1998.

Selepas itu, Malaysia memperkenal kawalan modal, termasuk menambat ringgit pada RM3.80 bagi satu dolar, yang dilihat sebagai kontroversi ketika itu, namun akhirnya ternyata menjadi penyelamat ekonomi.
Mata wang Malaysia kini berlegar pada RM3.6 berbanding RM2.93 pada Ogos 2011.
Satu lagi kedudukan positif bagi Malaysia ialah pembuat dasar sudah melaksanakan pembaharuan subsidi secara beransur-ansur yang bakal menyelamatkan berbilion ringgit, dan langkah ini bersama GST akan meningkatkan hasil.

Harga minyak mentah yang rendah telah membantu pembaharuan subsidi kerajaan, menjimatkan kira-kira RM2 bilion sebulan ke atas subsidi bahan api sejak dua bulan lepas.

Berdasarkan harga minyak kurang daripada AS$70 setong, kerajaan berjaya menetapkan harga petrol di pam bagi RON95 sebanyak RM1.91 dan RON97 pada RM2.11 untuk Disember.

Pembaharuan subsidi di Malaysia dimulakan pada Julai 2010 menerusi pengurangan subsidi untuk bahan api dan gula.

Pemotongan subsidi ke atas bahan api dan produk lain juga dirancang untuk tempoh tiga hingga lima tahun bagi mengukuhkan kewangan kerajaan dengan mengurangkan paras defisit.

Defisit Malaysia mencatatkan tujuh peratus pada 2009 dan negara mahu menurunkannya ke tahap tiga peratus tahun ini.

Malaysia juga mempelbagaikan sumber hasilnya dengan perolehan daripada minyak hanya kira-kira 30 peratus daripada jumlah hasil iaitu sebanyak RM130 bilion.

Pelaksanaan regim percukaian baharu GST, akan mengurangkan lagi pergantungan kepada hasil minyak, alasan kukuh mengapa penangguhannya akan menghalang Malaysia daripada menyertai kira-kira 130 yang sudah memperoleh manfaat besar pelaksanaan GST. – BERNAMA