Penganalisis Eko­nomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Amir Baharuddin berkata, walaupun Bajet 2015 akan berkuat kuasa tidak lama lagi, penstrukturan semula dengan memberi penekanan kepada bencana banjir perlu diambil kira oleh kerajaan.

“Bajet sedia ada sememangnya telah kukuh dan dibuat secara menyeluruh tetapi perlu lihat semula keupayaannya. Bagaimanapun, ini tidak bermakna Bajet 2015 perlu diganti lain kerana kita mempunyai peruntukan luar jangkaan sehingga 10 peratus jika berlaku sebarang masalah seperti kejadian banjir besar.

“Peruntukan yang telah diluluskan dalam Bajet 2015 boleh dilaksanakan tetapi perlu dilihat semula jika terdapat sebarang tambahan. Mana-mana pihak diharap tidak mempolitikkan isu ini kerana kita yakin Perdana Menteri cuba buat yang terbaik dengan melihat keperluan masa dan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Perdana Menteri mungkin menstruktur semula Bajet 2015 dan akan mengeluarkan kenyataan tentang perkara itu minggu depan.

Dalam pada itu, Amir berkata, jika Bajet 2015 di struktur semula, perlu juga diberi penekanan berhubung persediaan negara jika mengalami bencana besar seperti banjir lagi.

“Adakah negara telah bersedia jika kejadian sama berulang kembali. Oleh itu, mungkin kerajaan perlu menitikberatkan keselamatan negara seperti peralatan keselamatan, alat komunikasi dan persediaan helikopter.

“Malah, peruntukan bajet yang ditetapkan oleh kementerian tertentu tidak perlu dikurangkan tetapi harus disesuaikan mengikut keadaan. Contohnya, jika terdapat cadangan pembinaan jambatan baharu, mungkin perkara ini perlu difikirkan semula kerana bajet tersebut boleh digunakan untuk memperbaiki jambatan sedia ada,” katanya.


Sementara itu, Pensyarah Fa­ku­lti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pihaknya menyokong tindakan kerajaan menstruktur semula bajet 2015 selepas bencana banjir yang terjadi baru-baru ini telah memusnahkan harta benda sama ada peribadi atau awam.

“Proses pemulihan akan mengambil masa agak lama dan sudah tentu menelan belanja yang besar. Oleh itu, sudah tentu bajet yang disediakan akan tersasar, bagaimanapun keutamaan akan berubah supaya kesejahteraan rakyat akan senantiasa diberi perhatian.

“Bantuan modal perlu diberikan kepada peniaga yang terlibat untuk memulihkan perniagaan mereka. Ini boleh diberikan dalam bentuk pinjaman mudah (tanpa faedah atau faedah rendah) atau pun dalam bentuk geran mengikut jenis perniagaan atau industri,” katanya.
Tambah beliau, pembinaan semula infrastruktur perlu dijalankan dengan kadar segera berikutan pihak swasta juga perlu membantu kerajaan terutama daripada institusi kewangan untuk meringankan beban hutang peniaga.