TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, November 25, 2015

MAHKAMAH TINGGI MENERIMA RAYUAN PENDAKWA RAYA DAN MENJATUHKAN HUKUMAN YANG LEBIH SETIMPAL TERHADAP RESPONDEN BAGI KESALAHAN DI BAWAH AKTA PENDAFTARAN PERNIAGAAN 1956

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah menerima rayuan Pendakwa Raya dan telah mengenepikan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret. Yang Arif Hakim Dato’ Azman Hasan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.00 atau   3 bulan penjara jika responden gagal membayar denda bagi kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Pada 12/3/2015 yang lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500.00 jika gagal bayar 2 bulan penjara ke atas Liaw Swee Yow (Responden). Responden telah mengaku bersalah ke atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 bagi kesalahan memberi maklumat palsu kepada Pendaftar dalam Borang A iaitu Borang Pendaftaran Perniagaan bertarikh 17.6.2011 melalui perkhidmatan e-lodgement yang mana maklumat palsu tersebut ialah berkaitan kemasukan seorang individu sebagai pemilik perniagaan Bomziet Internet Café. Menurut fakta kes, individu yang dilantik sebagai pemilik perniagaan tersebut tidak tahu dan tidak pernah memberi kebenaran untuk dirinya dilantik menjadi pemilik perniagaan. Individu tersebut hanya mengetahui perkara ini setelah dimaklumkan oleh pihak Telekom Malaysia yang beliau mempunyai hutang tertunggak atas nama perniagaan Bomziet Internet Cafe.
Pihak Pendakwa Raya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret tersebut dan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap perintah sabitan dan hukuman yang dikenakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Puan Ku Hayati Binti Ku Haron daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (‘SSM’) hadir bagi pihak Pendakwa Raya dan Responden diwakili oleh Puan Stella Ng daripada Tetuan Stella, Lim & Co.
Kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 ialah kesalahan berkaitan membuat apa-apa pernyataan atau memberi apa-apa maklumat palsu kepada Pendaftar (SSM). Seksyen ini memperuntukkan hukuman jika disabit kesalahan dikenakan denda RM50,000 atau dipenjara selama tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
BERTARIKH : 2 SEPTEMBER 2015