TAGLINE

TAGLINE

Wednesday, November 25, 2015

SSM MEMPEROLEHI SABITAN TERHADAP SYARIKAT DAN PENGARAH SYARIKAT SRI MINAL CONSTRUCTION SDN. BHD. (76624-P) BAGI KESALAHAN KETIDAKPATUHAN DI BAWAH AKTA SYARIKAT 1965

Syarikat dan pengarah-pengarah syarikat Sri Minal Construction Sdn. Bhd., Lim Gen Leng dan Siaw Teck Hwa telah mengaku salah di Mahkamah Majistret Kemaman pada hari ini bagi pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 370(1) yang dibaca bersama Seksyen 165(7) Akta Syarikat 1965, bagi kesalahan berterusan gagal menyerahsimpan Penyata Tahunan syarikat tersebut bagi tahun 2010 kepada Pendaftar Syarikat setelah syarikat dan pengarah-pengarahnya dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 165(7) Akta Syarikat 1965 pada 03 Mac 2014.
Majistret di Mahkamah Majistret Kemaman, Puan Rofiah Binti Mohamad telah menjatuhkan hukuman denda seperti berikut:
Bil.TertuduhHukuman
1.Lim Gen Leng
  • Denda RM100.00 sehari x 32 hari = RM3,200.00 @ 6 bulan penjara sekiranya ingkar
2.Siaw Teck Hwa
  • Denda RM100.00 sehari x 32 hari = RM3,200.00 @ 6 bulan penjara sekiranya ingkar
3.Sri Minal Construction Sdn. Bhd.
  • Denda RM100.00 sehari x 32 hari = RM3,200.00
Sewaktu mitigasi hukuman, pengarah-pengarah telah merayu kepada Mahkamah supaya dikenakan hukuman denda yang minimum kerana syarikat sedang berusaha untuk menyerahsimpan Penyata Tahunan bagi tahun yang dituduh walaupun melewati tempoh yang diberikan.
Pendakwaan telah dijalankan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (‘SSM’), Encik Mohd Fauzi Bin Awang.
Oleh kerana syarikat tersebut masih gagal menyerahsimpan penyata tahunan bagi tahun yang dituduh, satu notis penalti ingkar kali kedua telah dikeluarkan selepas hukuman dijatuhkan, di mana syarikat dikehendaki  menyerahsimpan Penyata Tahunan 2010 dalam tempoh 30 hari dari tarikh jatuh hukum.
Kegagalan mematuhi kehendak asas Akta Syarikat 1965 adalah satu perlanggaran undang-undang yang dipandang serius oleh SSM. Tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh SSM ini diharapkan dapat memberi peringatan kepada syarikat dan pegawai-pegawai syarikat agar sentiasa mematuhi Akta Syarikat 1965.
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM) TERENGGANU
TARIKH : 29 JUN 2015