TAGLINE

TAGLINE

Tuesday, January 19, 2016

Penutupan Syarikat

Selamat Petang & salam.sejahtera,

Kita berniat untuk menutup syarikat sdn bhd. Bagaimana caranya? Perlu Tuan ketahui syarikat masih ada hutang/loan pinjaman bank. Apakah syarikat bisa ditutup?

Syarikat ini adalah saya & suami sebagai pemegang saham, disebabkan kesehatan buruk suami, bisnis ini tidak bisa dijalankan. Syarikat ditutup untuk mengurangi expenses.

Mohon pencerahan dari Tuan apa yang harus kita lakukan. Atas bantuan dan budi baiknya, saya ucapkan terima kasih.

Salam Hormat,
XXX

JAWAPAN

Waalaikummussalam Puan,
Untuk makluman, terdapat dua cara untuk menutup Syarikat iaitu melalui proses Pembubaran Syarikat atau permohonan Pembatalan Nama Syarikat.
1. Pembubaran
Pembubaran Syarikat boleh dibuat oleh perintah mahkamah atau secara sukarela. Merujuk seksyen 254(1), Syarikat boleh dibubarkan secara sukarela dengan cara meluluskan resolusi biasa atau resolusi khas ahli di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Pengarah syarikat juga perlu melantik Pembubar sementara yang diluluskan untuk menjadi Pembubar sementara Syarikat tersebut.
2. Pemohonan Pembatalan Nama Syarikat (Strike off S308)
Selain proses pembubaran, sekiranya Syarikat Puan tidak aktif, tidak beroperasi dan tidak berupaya meneruskan perniagaan pada masa akan datang, maka Syarikat boleh membuat permohonan Pembatalan Nama Syarikat atau Penutupan Syarikat (Strike Off) di bawah Seksyen 308 (1) Akta Syarikat 1965. Hal ini kerana, proses Penutupan Syarikat adalah lebih mudah berbanding proses pembubaran.


Antara syarat- syarat Penutupan Syarikat adalah seperti berikut:-
a)         Syarikat itu tidak berniat untuk menjalankan perniagaan pada masa hadapan
b)         Syarikat itu tidak mempunyai aset atau harta
c)         Syarikat itu tidak mempunyai hutang yang perlu dibayar
d)         Syarikat itu bukan Syarikat penjamin atau anak Syarikat lain
e)         Syarikat itu tidak berfungsi lagi seperti tiada Pengawai yang boleh dihubungi

Merujuk kepada syarat-syarat yang dinyatakan, pihak Syarikat perlu memastikan tiada liabiliti, hutang dan tiada lagi cukai Syarikat yang tertunggak. Sekiranya ada, Syarikat perlu menyelesaikan hutang itu terlebih dahulu bagi membolehkan proses pembatalan nama dilakukan. Selain itu, pihak yang menguruskan segala dokumen penutupan tersebut perlu tahu akan hutang atau pinjaman bank tersebut. 
Proses penutupan Syarikat ini kebiasaannya mengambil tempoh selama 6 hingga 12 bulan bergantung kepada budi bicara pihak SSM. Sesebuah Syarikat yang telah dibatalkan dari daftar disifatkan telah dibubarkan setelah notis pembatalan nama dikeluarkan dalam Warta Kerajaan.

Pihak Puan boleh melantik pihak lain sekiranya pihak Syarikat tidak mahu menggunakan khidmat Setiausaha Syarikat Puan.
Diharap penjelasan ini dapat membantu Puan.

Sekian, terima kasih.